Malaysia Tidak Sembunyi Maklumat, Kata PM

Iklan Here
2503NajibParlimen
KERAJAAN Malaysia tidak berniat sama sekali untuk menghalang ataupun menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada keluarga mangsa ataupun pengetahuan umum.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bagaimanapun harus mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum boleh mengumumkannya secara rasmi.
“Kita telah berpegang kepada prinsip bahawa apa sahaja kenyataan yang kita buat semestinya disahkan terlebih dahulu sebelum ia dikeluarkan secara rasmi oleh pihak kerajaan.
“Kita tidak ada niat sama sekali untuk menghalang atau menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada keluarga mangsa ataupun pengetahuan umum,” katanya ketika membentangkan usul khas MH370 di sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang dari skrin radar pada 8 Mac lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ia gagal dikesan sehinggalah data satelit milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikongsikan bersama-sama pasukan penyiasat sehingga berjaya dibuat analisis oleh sebuah syarikat satelit Inmarsat yang menunjukkan pesawat berkenaan terbang ke selatan Lautan Hindi dan berakhir di situ.
“Berkali-kali kita katakan bahawa insiden ataupun kes ini tidak pernah berlaku sebelum ini di dalam sejarah penerbangan.
“Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa langkah-langkah kita amatlah sesuai dan tepat yang telah kita lakukan. Kita telah juga mendapatkan kerjasama yang luar biasa daripada 26 buah negara,” kata Najib.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, beliau telah pun bertindak menghubungi ramai ketua negara lain dan para pemimpin negara lain sanggup untuk memberi kerjasama sepenuhnya.
“Saya sendiri telah menelefon ramai pemimpin negara luar dan setiap yang saya hubungi telah menyatakan kesanggupan untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya.
“Mereka telahpun mengarahkan agensi-agensi mereka untuk memberi kerjasama dari segi maklumat radar, maklumat satelit dan juga mengarahkan aset-aset mereka digunakan dalam operasi SAR mengikut kemampuan negara tersebut,” katanya.
Najib menjawab dakwaan beberapa pihak terutamanya ahli keluarga dari penumpang dari China yang mengkritik kerajaan Malaysia menutup maklumat dan kononnya tahu di mana lokasi pesawat itu sebenarnya pada masa ini.
Ahli keluarga penumpang di Beijing difahamkan telah melancarkan protes dan berarak ke bangunan Kedutaan Besar Malaysia ke China dan berhimpun di hadapan bangunan itu menuntut penjelasan tentang nasib yang menimpa ahli keluarga mereka di dalam pesawat MH370.

0 Response to "Malaysia Tidak Sembunyi Maklumat, Kata PM"

Post a Comment